Daripada Abdul Rahman Bin Samurah r.a berkata, Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda :
"Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam sebelum aku di-Israqkan...". Antara 9 mimpi tersebut ialah :
1. Aku telah melihat salah seorang daripada kalangan umatku telah didatangi oleh malaikatul maut dengan keadaan yang amat menggerunkan yang datang untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh ketaatan dan kepatuhannya terhadap kedua-dua ibubapanya.
2. Aku telah melihat salah seorang daripada kalangan umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyeksakan, diselamatkan oleh berkat wuduknya yang sempurna.
3. Aku telah melihat salah seorang daripada kalangan umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis laknatullah, maka dia diselamatkan dengan berkat zikirnya yang tulus ikhlas kepada Allah S.W.T.
4. Aku telah melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahannam yang dimasukkan melalui mulut dan dikeluarkan rantai tersebut daripada duburnya oleh malaikat Ahzab, tetapi solatnya yang khusyu' dan tidak menunjuk-nunjuk telah melepaskannya daripada seksaan itu.
5. Aku telah melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga yang dihalang dia daripada meminumnya, ketika itu datanglah pahala puasanya yang ikhlas kerana Allah S.W.T. memberinya minum hingga dia berasa puas.
6. Aku telah melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan, setiap kali dia datang, dia akan diusir, maka menjelmalah mandi junubnya yang sempurna rukunnya sambil menghampiri kumpulanku seraya duduk di sebelahku.
7. Aku telah melihat salah seorang daripada umatku berada di dalam keadan gelap-gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri berada di dalam keadaan bingung, maka datanglah pahala haji dan umrahnya yang ikhlas kerana Allah S.W.T. lalu mengeluarkannya daripada kegelapan tersebut kepada tempat yang terang-benderang.
8. Aku telah melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidak pun membalas bicaranya, maka menjelmalah sifat silaturrahimnya dan sifat tidak suka bermusuh-musuhan sesama umatku lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicaralah mereka dengannya.
9. Aku telah melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api daripada mukanya, maka segeralah menjelma pahala sedekahnya yang ikhlas kerana Allah S.W.T. lalu menabir muka dan kepalanya daripada bahaya api tersebut.
Satu persoalan di sini, pernahkah terdetik walaupun sekali di hati kita untuk bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w?? Mimpi bertemu Rasulullah s.a.w boleh digolongkan dalam erti mimpi anugerah Allah kepada seseorang.
Abu Hurairah berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, sesungguhnya sesiapa yang bermimpi melihat daku dalam tidurnya, maka akan dilihat daku ketika sedarnya (yaqazah), atau seolah-olahnya dia melihat daku dalam sedarnya. Syaitan tidak boleh menyerupai daku."
Berkata Abu Salamah, "Telah berkata Abu Qatadah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, sesiapa yang telah melihat daku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia telah melihat yang benar (al-Haqq). (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Banyak lagi hadis yang menceritakan hal mimpi bertemu Rasulullah SAW yang menggambarkan bahawa mimpi sedemikian adalah berlaku dan ia adalah benar.
Pendakwah terkenal Datuk Dr. Haron Din pernah berkongsi pengalaman bagaimana beliau bermimpi bertemu seseorang yang beliau yakin itu adalah Rasulullah SAW. Ianya berlaku sewaktu beliau sedang menderita sakit tidak lama dulu. Sambil menitiskan airmata, beliau terharu kerana doanya untuk bertemu Baginda ditunaikan oleh Allah SWT.
Bukan berniat untuk mempengaruhi sesiapa agar mempercayai mimpi tersebut, namun saya percaya ada yang kita boleh ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Semoga kita dapat sama-sama mengambil iktibar daripada pengetahuan ini. Wallahu'alam bissawabb!
Nota hujung jari : Yang Baik adalah dari Allah, segala yang buruk, salah, dan silap adalah dari saya sendiri...jika ada salah di mana-mana, tegur-tegurlah ya. Sekurang-kurangnya saya tahu kesalahan saya dan boleh diubah supaya pembaca-pembaca seterusnya tak ter"ikut" benda-benda yang mungkin saya tersilap. Wallahu'alam!
♥ Biar buruk di mata orang tapi indah di mata TUHAN,
tapi tentu lebih bagus kalau indah di mata TUHAN juga indah di mata orang ♥
♥ I am pleased with Allah as my Lord, with Islam as my Religion,
and Muhammad (s.a.w) as my Prophet ♥